Monday, March 23, 2009

Calon Pemenang Pertandingan Puisi

Muhammad habibuna

Allah..

Saat hati ini mencari cinta,

Cinta pemuda sejati,

Lembaran sejarah ku selak satu demi satu,

Kekagumanku memuncak.

Allah!

Muhammad.. Muhammad habibi.

Cinta selayaknya, setulusnya..,

Malulah kita,

Cintanya untuk kita sudah ada

Kita sendiri sudah mengerti

Bahkan tersangat mengerti.

Mana cinta kita untuk baginda?

Secalit cinta untuk baginda pun masih mahu kikir?

Tamparlah hatimu atas kekikiran itu.

Muhammad..Habibuna..

Segala ujian yang menyelimutimu,

Sungguh!

Tidak pernah ada tandingannya.

Harta berjuta,

Pangkat semua,

Wanita segala,

Tidak pernah kau tergoda,

Kerana kau manusia sempurna,

Cintamu hanya pada Yang Esa.

Muhammad.. Habibuna..

Penderitaanmu tidak pernah ada tolok bandingnya

Perjuanganmu tidak akan ketemu nokhtahnya.

Lemparkan segala tohmahan, cacian dan kejian,

Kebaikan pula balasnya.

Siapkanlah segala sekatan dan halangan,

Menderas juga dakwahnya.

Ciptalah piala tertinggi di dunia,

Anugerah paling istimewa,

Bukanlah itu lawannya.

Ketokohanmu dan kemuliaanmu,

Tidak dapat diukur darjahnya.

Kerana kau satu-satunya manusia mulia,

Didakap oleh Maha Kuasa

Selayaknya,

Bergunung-gunung cinta umat untuk baginda.

Allah….

Air mata kecintaan baginda untuk kita,

Berkali-kali sudah tumpah

Buktinya melimpah ruah.

Ah, memang terlalu mahalkah masa kita??

Perlu dibayarkah cinta kita untuk bagida??

Muhammad..Habibuna..

Peninggalanmu,

Al-Quran dan As-Sunnah,

Sering kami lupa.

Mengalirkan cinta untukmu juga,

Sering kami alpa.

Sedangkan kami umatmu.

Layakkah kami bergelar ummatmu??

Muhammad..habibuna..

Akan kami usaha sedaya upaya

Mengutus cinta padamu

Memahat namamu dalam hati ini

Menjejak langkah kekasih hati

Agar dengan itu,

kau syafaatkan kami.

*Atas permintaannya, identiti penulis dirahsiakan

Thursday, March 12, 2009

Usrah tingkatan 5 dan 2 dan iftar jamaie

Pertama, Usrah. Banin banat diasingkan. Aktiviti juga berlainan. Respon menggalakkan.

Kedua, Iftar. Memang menyeronokkan. Cuma ramai tak sempat makan. Program habis lewat sedikit. Balik terus. Takut mak ayah tunggu lama. Maaf ya!

Ketiga, keputusan SPM. Alhamdulillah! Mantop~ Tahniah abang-abang dan kakak-kakak caliph 14. Semoga terus cemerlang di dunia dan akhirat... Bawalah mutiara-mutiara yang telah dikutip di al-Amin sebagai pedoman menghadapi dunia yang lebih mencabar.. Ada rezeki, kita bertemu lagi!

*Ringkas sahaja post kali ini. Kalau nak tahu lebih lanjut bolehlah tanya peserta-peserta yang menyertai aktiviti tersebut. :)

BERITA BAIK!

Kami faham bahawa untuk mencari idea dan mereka cipta sesuatu memerlukan masa yang lama dan pemikiran yang tenang. Oleh itu, kami memberikan peluang kepada anda untuk menghasilkan yang terbaik sepanjang cuti ini. Dengan ini, tarikh tutup penyertaan dilanjutkan sehingga 20 Mac 2008.

Sekian, Terima Kasih.

Wednesday, March 11, 2009

Daurah

Menarik kan ceramah yang Encik Kamarulzaman sampaikan tadi? Tapi satu je yang tak sedap dengar. Bila encik tu kata kita tak tumpukan perhatian. Dia bagi ceramah di sekolah kebangsaan, semua tumpukan perhatian. Mereka lebih baik daripada kita? Fikir-fikirkan dan ambil pengajaran..
Harap-harap kita dapat mengambil manfaat dan mempraktikkan segala yang dipelajari.

Hmm.. Tak pasti sama ada orang-orang yang melawat blog ini semuanya tak berani nak bagi comment atau blog ni ketandusan pengunjung.. Apa-apa pun kami mengalu-alukan sangat komen anda untuk menghidupkan lagi blog ini.

Oh ya, penyertaan puisi dan poster tiada penyertaan lagi. Jadi, rebutlah peluang ini!

Tuesday, March 10, 2009

Pertandingan Kuiz

Alhamdulillah.. selesai sudah pertandingan kuiz untuk tingkatan satu dan empat. Memang kami akui, terdapat beberapa faktor luaran dan kelemahan kami sendiri yang mencacatkan kelancaran program. Kami menyusun sepuluh jari atas segala kekurangan yang ada.
Kepada tingkatan dua dan lima.. Giliran anda akan tiba. Semoga program selepas ini akan bertambah baik, Insya-ALLAH..

Apakah aktiviti untuk daurah esok? Saksikan..

Pertandingan Puisi/ Sajak

Syarat-syarat penyertaan:
-Terbuka kepada semua murid Sekolah Menengah Islam al-Amin kecuali AJK MMQ
-Tema puisi/ sajak adalah berkenaan dengan Rasulullah
-Semua penyertaan hendaklah dihantar kepada mmq0909@gmail.com selewat-lewatnya pada hari Jumaat
-Sajak anda akan dipamerkan di blog ini

Saturday, March 7, 2009

Pertandingan Poster Maya


Syarat-syarat penyertaan:

-Terbuka kepada semua murid Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak kecuali AJK MMQ
-Peserta boleh menggunakan apa-apa perisian seperti paint, adobe photoshop dan sebagainya.
-Poster tersebut mestilah 100% ciptaan sendiri. Mengambil dan memplagiat adalah haram sama sekali. Sesungguhnya ALLAH maha mengetahui
-Tema yang ditetapkan ialah 'kecintaan terhadap Rasulullah'.. Oleh itu, hasil karya anda mestilah mampu menyentuh hati orang yang melihatnya.
-Sebarang gambar, kata-kata, atau ayat yang disertakan dalam poster adalah mengikut kreativiti masing-masing.
-Penyertaan boleh dihantarkan kepada mmq0909@gmail.com.
-Semua penyertaan akan disiarkan di blog ini. Walaubagaimanapun, nama penghasil karya akan dirahsiakan jika ada permintaan.
-Tarikh tutup penyertaan ini adalah pada 13 Mac 2009.
-Sebarang perubahan akan diberitahu kemudian.

Memperingati Maulidur Rasul

Memperingati Maulidur Rasul

Oleh Ismail Hashim Yahaya

Maulidur Rasul atau Maulid Nabi asalnya disambut untuk membangkitkan semangat umat Islam yang sedang berjuang mempertahankan diri dari serangan tentara salib Eropah iaitu Perancis, Jerman, dan Inggeris.

Pada tahun 1099M tentera salib telah menakluki Baitulmaqdis dan menguasai Masjidil Aqsa. Umat Islam ketika itu dikatakan lemah dan kehilangan semangat perjuangan dan persaudaraan ukhuwah.

Jika dilihat pada waktu itu umat Islam berada dalam keadaan berpecah belah disebabkan oleh terdiri banyak kerajaan-kerajaan kecil dan kesultanan yang lain. Kerajaan-kerajaan ada yang beraliran Syiah dan sekutu bekas Dinasti Umayyah.

Keberadaan khalifah Dinasti Abbasiyiah di kota Baghdad masih tidak menjamin perpaduan umat Islam kerana terdapat penentangan daripada kumpulan-kumpulan yang anti-Bani Abbasiyiah.

Namun umat Islam pada waktu itu amat bertuah kerana terdapat pemimpin seperti Sultan Salahuddin Yusuf Al-Ayyubi --orang Eropah menyebutnya Saladin, seorang pemimpin yang menyedari kedudukan umat Islam yang agak rapuh pada waktu itu ketika berhadapan dengan tentera salib.

Sultan Salahuddin 1174-1193 M (570-590H) daripada Dinasti Bani Ayyub ketika itu memerintah di Kairo, Mesir yang bidang kuasanya meliputi wilayah Syria dan jazirah Arab.

Menurut Salahuddin semangat perjuangan umat Islam harus dihidupkan kembali dengan cara menguatkan kembali kecintaan umat kepada Nabi mereka. Fokus kecintaan kepada Nabi saw berserta menghayati sirahnya akan membawa kembali penyatuan umat Islam itu .

Oleh itu Salahuddin cuba mengingatkan umat Islam di seluruh dunia pada waktu itu supaya mengimbas kembali hari lahir Nabi Muhammad SAW, pada 12 Rabiul Awal kalender Hijrah dengan mengadakan sambutan yang dapat menyatupadukan umat Islam dan diadakan pada setiap tahun.

Salahuddin meminta pandangan Khalifah Dinasti Abbasyiah di Baghdad iaitu Khalifah An-Nashir dan baginda bersetuju dengan cadangan Salahuddin.

Maka pada musim ibadah haji bulan Dzulhijjah 579 H (1183 Masehi), Salahuddin sebagai penguasa haramain (dua tanah suci, Mekah dan Madinah) mengeluarkan arahan kepada seluruh jemaah haji bahawa apabila balik ke kampung halaman mereka harus meraikan sambutan hari kelahiran nabi Muhammad dengan berbagai kegiatan yang dapat membangkitkan semangat umat Islam.

Sambutan itu dimulakan pada tahun 580 Hijriah (1184 M) pada 12 Rabiul-Awal yang dirayakan sebagai hari Maulidur Rasul.

Sebenarnya sambutan maulidur rasul ini bukan gagasan murni Salahuddin, melainkan cadangan dari iparnya, Muzaffaruddin Gekburi, yang menjadi atabeg (penguasa daerah) di Irbil, Syria Utara.

Bagi mengimbangi semaraknya peringatan hari Natal oleh penganut agama Kristian, Muzaffaruddin di istananya sering mengadakan peringatan Maulidur Rasul, cuma perayaannya bersifat setempat dan tidak dilakukan pada setiap tahun.

Adapun Salahuddin ingin agar perayaan maulidur rasul menjadi tradisi bagi umat Islam di seluruh dunia dengan tujuan meningkatkan semangat juang dan bukan sekadar perayaan ulang tahun biasa.

Namun pada peringkat awal idea Salahuddin ditentang oleh para ulama. Ini kerana sejak pada zaman Nabi perkara seperti tidak pernah diadakan.

Lagi pula menurut ajaran agama Islam umat Islam sudah mempunyai dua hari perayaaan iaitu Idul Fitri dan Idul Adha. Tetapi Salahuddin menegaskan bahwa perayaan Maulidur Rasul hanyalah kegiatan yang menyemarakkan syiar agama bukannya perayaan yang bersifat ritual sehingga tidak dapat dikategorikan bidaah yang terlarang.

Terdapat juga pandangan yang mengatakan sambutan Maulidur akan membawa pemujaan yang berlebihan kepada Rasullullah saw. pula.

Tetapi ternyata niat dan objektif Salahuddin semata-mata ingin mengembalikan kebangkitan dan kesedaran umat Islam menentang musuh salibin dan bertujuan mengusir mereka daripada bumi yang berkati Allah.

Salah satu kegiatan yang diadakan oleh Salahuddin semasa sambutan Maulidur Rasul yang pertama kali tahun 1184 (580 H) adalah menyelenggarakan sayembara penulisan riwayat yang bercorak syiar mengenai kehidupan Nabi beserta puji-pujian bagi Nabi dengan bahasa yang puitis.

Seluruh ulama dan sastrawan diundang untuk mengikuti pertandingan tersebut. Pemenang pertama yang menjadi juara ialah Syaikh Ja`far Al-Barzanji.

Karyanya yang dikenal sebagai Kitab Barzanji yang sampai sekarang sering dibaca oleh masyarakat di kebanyakan negara Islam sempena sambutan maulidur rasul. Inilah juga di mana tumbuhnya perkataan berzanji yang diadakan di negara kita.

Barzanji membicarakan mengenai sirah Nabi Muhammad yang mencakupi silsilah keturunannya, masa kanak-kanak, remaja, pemuda, sehingga diangkat menjadi rasul.

Karya itu juga mengisahkan sifat-sifat mulia yang dimiliki Nabi Muhammad berserta berbagai peristiwa untuk dijadikan teladan umat manusia.

Nama Barzanji diambil dari nama pengarang naskah tersebut yakni Syekh Ja'far al-Barzanji bin Husin bin Abdul Karim.

Dia lahir di Madinah tahun 1690 dan meninggal tahun 1766. Barzanji berasal dari nama sebuah tempat di Kurdistan, Barzinj.

Karya tersebut sebenarnya berjudul 'Iqd Al-Jawahir (artinya kalung permata) yang disusun untuk menyemarakkan kecintaan kepada Nabi Muhammad saw. Tapi kemudian lebih terkenal dengan nama penulisnya.

Ternyata peringatan Maulidur Rasul yang diselenggarakan Salahuddin itu membuahkan hasil yang positif. Semangat umat Islam menghadapi Perang Salib bergelora kembali.

Ini kerana penghayatan terhadap sirah melalui syair dan seumpamnya itu berhasil memberikan kesedaran terhadap kebangkitan umat Islam.

Salahuddin berhasil menghimpunkan kekuatan sehingga pada tahun 1187 (583 H) Baitulmaqdis berjaya dirampas kembali oleh Salahuddin daripada tangan bangsa Eropah dan Masjidil Aqsa dikuasai semula oleh umat Islam.

Memperingati Maulidur Rasul mempunyai maknanya yang mendalam terutamanya pada masa sekarang yang bererti menyatupadukan kembali umat Islam ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam segenap bidang kehidupan umat.

Salahuddin telah melakukan strategi yang betul dan berjaya dalam mengembalikan semangat juang dan kesedaran umat Islam supaya bangkit semula menentang tentera salib yang menguasai bumi Baitulmaqdis.

Ia dapat membaca psikologi umat Islam pada waktu itu dan tahu bagaimana cara mengembalikan kesedaran mereka untuk bersatu padu semula..

Bagaimanapun sambutan Maulidur Rasul sekarang sudah menjadi suatu perayaan ritual sahaja yang kering kontang daripada maknanya.

Ia bagaikan episod ulangan (pengulangan lagu-laguan syair yang lemah lesu dan tidak membangkitkan semangat apa pun) yang tidak mempunyai objektif tertentu ketika umat Islam khususnya golongan muda begitu menggilai hiburan dan idola-idola mereka.

Dunia Islam harus belajar strategi dan keadah yang digunakan Salahuddin supaya umat Islam mempunyau fokus atau tumpuan dalam mengembalikan perpaduan umat Islam sekarang.

Pakar motivasi dan ahli akdemik Islam masih tidak menerokai sepenuhnya kaedah yang digunakan Salahuddin yang membangkitkan kesedaran sehingga umat Islam bersatu semula menentang musuh mereka sebagaimana terbukti dalam perang salib.

Sekurang-kurangnya umat Islam harus mempunyai suatu suara yang mantap, konkrit dan mengerunkan bagi mendesak dan meminta kerajaan Amerika Syarikat dan sekutunya supaya keluar dari Iraq dan jangan menyerang Iran.

Lihatlah sekarang di mana suara umat Islam! Banyak perkara yang harus dipelajari daripada Salahuddin yang masih tidak bongkarkan dan ditinggalkan begitu saja kerana yang kita nampak hanya perang salib tetapi tidak strategi dan kaedahnya

Sumber: http://tazkirah.smart2u.com/

Jom Flash Back Sirah Rasulullah!



Maaflah ye.. Nasyid sahaja yang mampu diletakkan setakat ini. Siapa yang ada kisah tentang Rasulullah atau sirahnya silalah emailkan ya.. Supaya dapat dikongsi bersama!

The Prophet

MMQ

Assalamualaikum semua!

Laman blog ini dicipta has sempena Minggu Muhammad Qudwatuna yang diadakan pada 9-13 Mac 2009. Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan.. Jadi, tunggu dan lihat sahaja!

Sirah Rasulullah dan nasyid-nasyid yang berkaitan dengannya juga akan disajikan di sini.. Selamat membaca!

Jika anda mempunyai sebarang bahan untuk dikongsi bersama, bolehlah meng-emailkan ke alamat: mmq0909@gmail.com. Kami juga mengalu-alukan sebarang kritik yang membina untuk memperbaiki mutu kerja kami.

Sekian sahaja buat kali ini,
Wassalam